twitter




RAMADHAN adalah bulan ibadah, bulan yang mulia dan lebih utama daripada bulan yang lain. Lantaran itu bulan Ramadhan perlu diutamakan, disambut dengan persediaan dan dihayati.


MENYAMBUT RAMADHAN


Apabila bulan Ramadhan menjelang tiba, mukmin sejali berkemas-kemas dan bersiap-siap menanti kedatangannya. Mereka menyambut dengan penuh kesukaan, penuh keriangan; penuh kegembiraan dan penuh harapan. Seseorang yang bercita-cita menjadi mukmin sejati juga perlu mencontohi sifat itu.
Memang selayaknya seseorang itu berasa gembira dengan kedatangan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan berkat yang membawa rahmat. Setiap amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan berlipat ganda ganjarannya. Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan latihan menjinakkan nafsu yang liar dan mendidik jiwa. Persiapan yang praktikal menyambut kedatangan Ramadhan ialah: 1. Mengulang-ulang kembali pelajaran yang berkenaan dengan puasa, agar kita memasuki dan menjalani bulan Ramadhan itu dengan pengetahuan yang mantap. Pelajaran itu seharusnya memberi pengetahuan tentang rukun, syarat, adab, faedah, rahsia dan hikmah-hikmah yang terkandung dalam puasa, qiamullail, tarawih, membaca Al-Quran dan sebagainya. 2. Memperlihatkan kepada sesama kita kesenangan perasaan hati, kegembiraan dan keghairahan menghadapi bulan puasa sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat pernah lakukan. 3. Membanyakkan doa, moga-moga Allah memberikan tenaga kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa. Berharap agar Allah memimpin kita supaya dapat menunaikan puasa itu dengan hati yang jujur dan ikhlas. 4. Menguatkan semangat dan himmah untuk menjalankan latihan dengan sempurna. Bulan Ramadhan ialah bulan ujian dan latihan memerangi hawa nafsu makan, syahwat, tamak dan haloba. Jika nafsu berjaya ditundukkan, mudahlah untuk terus mendekatkan diri kepada Allah dengan membanyakkan ibadah. Seterusnya mensucikan diri dari dosa-dosa serta menghiasi diri dengan pekerti yang mulia. 5. Menyediakan diri untuk menjaga dan memelihara amalan yang akan dilakukan di bulan Ramadhan. Persediaan yang boleh dibuat ialah menyediakan jiwa dan kemahuan yang sungguh-sungguh untuk merebut keistimewaan bulan Ramadhan. Bersedia jiwa untuk meningkatkan amal ibadah dan pengorbanan sempena bulan Ramadhan. 6. Melenyapkan adat tradisi yang memberat dan membebankan. Contohnya berbelanja lebih untuk menyambut bulan Ramadhan. Membeli makanan yang sedap-sedap dan tidak pernah dimakan sehingga sanggup membazir kerana tidak dapat menolak nafsu makan. Seorang ulamak Salaf menjual jariahnya (hamba perempuan) kepada seorang saudagar hartawan. Ketika hampir menjelang Ramadhan, si jariyah melihat tuannya yang kaya raya itu membeli makanan yang sedap-sedap. "Untuk apa tuan menyediakan makanan ini, sebelum ini tidak pernah tuan mengumpulkannya?" tanya jariah kehairanan. "Untuk bulan Ramadhan yang tidak lama lagi akan tiba," jawab saudagar itu. "Adakah tuan tidak pernah berpuasa selain dari bulan Ramadhan dan tuan hanya mengerjakan puasa Ramadhan untuk bersedap-sedap dan membanyakkan jenis makanan sahaja. Kalau begitu saya tidak dapat bersama tuan, sudilah kiranya tuan menjual saya kembali kepada tuan saya yang dahulu." kata jariah dengan tegas. 7. Mengucapkan tahniah atas kedatangan Ramadhan dengan mengadakan kenduri kesyukuran atau mengadakan sedikit jamuan dan membuat majlis tahlil.

CARA RASULULLAH SAW MENYAMBUT RAMADHAN

Nabi SAW menyambut bulan Ramadhan dengan beberapa cara:
1. Dengan banyak berpuasa sebelum Ramadhan. Mengerjakan puasa sunat bulan Rejab dan Sya'ban, puasa sunat Isnin dan Khamis atau puasa sunat lainnya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Aisyah: "Adalah Rasulullah SAW kadang-kadang terus-menerus berpuasa, hingga kami mengatakan, bahawa beliau tidak berbuka-buka, dan kadang-kadang terus-menerus berbuka, hingga kami mengatakan bahawa beliau tidak pernah berpuasa sunat. Namun demikian saya tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan penuh selain bulan Ramadhan; dan saya tidak pernah melihat beliau banyak berpuasa sebagaimana puasa di bulan Sya 'ban " 2. Rasulullah SAW pada hari akhir dari bulan Sya'ban berceramah (berkhutbah) di hadapan para Sahabat untuk menerangkan keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman r.a., ertinya: Rasulullah SAW pada hari terakhir dari bulan Sya'ban berkhutbah di hadapan kami, maka beliau bersabda: "Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasa-Nya suatu fardhu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain. Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu pahalanya adalah Syurga. Ramadhan itu adalah bulan membelikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin di dalamnya. Barangsiapa memberi makanan berbuka di dalamnya kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari Neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa sedikitpun berkurang." Para Sahabat berkata: "Ya Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan berbuka puasa itu untuk orangyang berpuasa!" Maka bersabda Rasulullah SAW: "Allah memberikan pahala ini kepada orang yang memberikan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya merdeka dari Neraka. Barangsiapa meringankan beban dari hamba sahaya (pembantu-pembantu rumah), nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari Neraka. Kerana itu banyakkanlah yang empat perkara di dalam bulan Ramadhan. Dua perkara untuk kamu menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya. Dua perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkan Allah, ialah mengakui dengan sesungguhnya, bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohon ampun kepada-Nya. Dua perkara lagi yang kamu sangat menghendakinya; orang yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga ia masuk dalam Syurga. " Melalui hadis ini kita boleh mengambil banyak pengajaran danperingatan. Kita boleh mengadakan majlis pertemuan menyambut Ramadhan dengan menghuraikan Hadis tersebut. 3. Mengucapkan tahniah atas kedatangan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah memerintahmu berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu Syurga, dikunci segala pintu Neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berertilah telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan. " (Riwayat: Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Baihaqi)

MENGHIDUPKAN RAMADHAN

Menghidupkan Ramadhan ialah memuliakan bulan Ramadhan dengan amalan yang bermanfaat. Menghayati puasa, berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Sabda Rasulullah SAW yang ertinya: "Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu. " Melaksanakan puasa dengan ertikata yang sebenar, bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi menahan diri daripada maksiat dan dosa, menahan hati dari sifat keji dan menahan diri dari menuruti hawa nafsu. Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW, bersabda yang ertinya: "Puasa itu benteng, maka janganlah berkata keji dan janganlah bertekak seperti orang bodoh. Jika seseorang menentang atau memakimu maka hendaklah ia berkata; "Sesungguhnya saya sedang berpuasa, " dua kali. Demi zat yang diriku di tangan-Nya, bau busuknya mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Firman Allah: "Ia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk-Ku dan Aku membalasnya. Setiap kebaikan akan dibalas sepuluh kali ganda."(Riwayat: Bukhari) Seterusnya memprogramkan diri dengan amal ibadah seperti sembahyang sunat tarawih, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah dan qiamulail. Beribadah dan beramal di bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran pahala berlipatganda. Sabda Rasulullah SAW yang ertinya: "Barangsiapa mendatangi majlis ilmu di bulan Ramadhan, maka Allah mencatat tiap-tiap langkahnya sebagai ibadah setahun dan dia akan bersama ku di bawah panji-panji Arasy; barangsiapa mengekalkan solat berjemaah di bulan Ramadhan, maka tiap-tiap rakaatnya akan diberi satu kota yang penuh dengan nikmat Allah; barangsiapa yang berbuat baik kepada kedua orang tuanya di bulan Ramadhan, maka akan memperoleh perhatian Allah dengan kasih sayang, sedang aku menjaminnya di dalam Syurga; dan seorang perempuan yang mencari keredaan suaminya di bulan Ramadhan maka baginya pahala sebagaimana pahala Siti Maryam dan Siti Asiah; dan barangsiapa yang menolong keperluan saudara muslimnya di bulan Ramadhan, maka Allah akan menolong seribu keperluannya di Hari Qiamat. " (Dari A nas bin Malik)

MENENTUKAN PERMULAAN RAMADHAN DAN SYAWAL


Wajib berpuasa apabila masuk bulan Ramadhan serta berhari raya awal Syawal. Mengenai masuknya bulan Ramadhan serta Syawal dapat diketahui dengan beberapa kaedah. Di antaranya ialah: 1. Melihat anak bulan Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berpuasalah kamu sesudah melihat bulan dan berbukalah kamu (berhari, raya) sesudah melihat bulan." Mengetahui masuknya Ramadhan dengan melihat bulan dilakukan dengan melihat bulan pada malam 30 Sya'ban. Bahkan sebaik-baiknya diusahakan melihat bulan pada 30 Rejab untuk mengetahui awal Sya'ban. Ini berdasarkan hadis yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: "Hitunglah bulan Sya'ban untuk Ramadhan." (Riwayat oleh Tarmizi) Puasa itu bukanlah dimulakan setelah melihat bulan, tetapi hendaklah menurut ketentuannya juga. Iaitu dari fajar malam yang pada malam itu kita melihat bulan dan berbuka (berhari raya) sesudah terbenam matahari pada hari yang akhir dari bulan Ramadhan bila kita melihat bulan sebelum matahari terbenam ataupun sesudahnya. Jika kita dapat melihat bulan, wajiblah berpuasa esoknya. Jika kita tidak melihat bulan sedangkan cuaca terang, tidak boleh berpuasa esoknya. Sebaliknya jika tidak terlihat bulan kerana cuaca mendung, wajib memulakan puasa esoknya. Ini berdasarkan pendapat mazhab Ibnu Umar dan hadis riwayat Bukhari dan Muslim dan Ibnu Umar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan itu 29 hari, maka janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihat bulan dan janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihatnya. Tetapi jika cuaca mendung, kadarkanlah olehmu untuknya." Menurut pendapat Abu Hurairah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahrnad tidak wajib memulakan puasa jika hari mendung. Bahkan wajib mencukupkan 30 hari. Ini berdasarkan kepada hadis riwayat Bukhari dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Berpuasalah kamu sesudah melihat bulan dan berbukalah kamu sesudah melihat bulan. Jika mendung tidak dapat melihatnya, sempurnakanlah Sya'ban 30 hari. " 2. Dengan kesaksian yang adil Jika kita tidak dapat melihat bulan, tetapi ada orang (orang yang boleh dipercayai) menyatakan telah melihat bulan di ufuk barat sesudah terbenam matahari, wajiblah berpuasa. Menurut hadis dari Umar r.a. yang maksudnya: "Orang banyak sibuk melihat bulan, lalu aku khabarkan kepada Rasulullah SAW. bahawa aku telah melihatnya, kerana itu Rasulullah lalu berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa. " (Riwayat: Abu Daud dan Daruqutni). Dalam hadis lain Ibnu Umar berkata yang maksudnya: "Seorang Arabi (Arab pergunungan) telah datang kepada Rasulullah SAW lalu menyatakan: "Sesungguhnya saya telah melihat bulan Ramadhan."Rasulullah SAW bertanya: "Apakah anda mengakui bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah?" Arabi itu menjawab: "Benar". Rasulullah bertanya lagi: "Apakah anda mengakui bahawa Muhammad itu Rasulullah?"Dia menjawab: "Benar". Maka bersabdalah Rasulullah S/W» "Wahai Bilal beritahukanlah kepada manusia supaya mereka berpuasa esok hari. " (Riwayat Tarmizi) 3. Mencukupkan bulan Sya 'ban 30 hari Apabila kita tidak dapat melihat bulan pada malam ke 30-Sya'ban dan tidak ada pula orang yang menyatakan kesaksiannya telah melihat bulan, wajiblah kita, memulai puasa dengan menyempurnakan bulan Sya'ban genap 30 hari. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bulan itu 29 hari (malam), maka janganlah kamu puasa sebelum kamu melihat bulan, jika bulan tertutup atas kamu maka cukupkan bilangan Sya 'ban 30 hari. " (Riwayat Bukhari) Dalam hadis yang lain bermaksud: "Bulan itu sekian, sekian dan sekian, kemudian Rasulullah SAW menggenggam ibu jarinya pada kali yang ketiga. Berpuasalah kamu kerana melihat bulan, dan berbukalah kerana melihat bulan. Jika bulan tertutup atas kamu (tidak kelihatan) maka kadarkanlah 30 hari. " (Riwayat Muslim) Maksudnya jumlah hari bulan itu ialah 29 hari. Berpuasalah kerana melihat bulan dan berbukalah juga kerana melihat bulan dan berbukalah juga kerana melihat bulan. Tetapi jika bulan tidak kelihatan, misalnya kerana mendung atau kerana sebab lainnya, maka hitunglah bulan itu 30 hari. Kemudian baru kamu berpuasa atau berbuka. Berdasarkan hadis-hadis di atas, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hambali berpendapat jika bulan tidak kelihatan pada malam 30 Sya'ban itu, genapkanlah bilangan Sya'ban itu 30 hari. Kemudian esoknya barulah memulai puasa. 4. Menggunakan kiraan hisab Sebahagian ahli ilmu mutaakhirin berkata: "Boleh juga kita mulai puasa dengan hisab ahli ilmu hisab." Berkata pula sebahagian ulama: Boleh juga kita memulai puasa, dengan hisab ahli hisab yang cukup alat-alat hisab dan segala yang bersangkut-paut dengannya. Firman Allah SWT: Ertinya: "Dialah yang menjadikan matahari terang benderang dan bulan bercahaya dan Dia tentukan perjalanannya (hari bulan) supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (hisab), Allah tiada menjadikan itu semua melainkan dengan kebenaran. Dia menerangkan ayat-ayat-Nya bagi kaum yang mahu mengetahui. " (Yunus: 5) Ayt ini menjadi daisar dalam ilmu untuk mengetahui waktu, hisab, tanggal hari bulan. Untuk menguatkannya lagi bersandar pula kepada hadis dari Ibnu Umar r.a. yang bermaksud: "Bila kamu Melihat bulan maka berpuasalah, dan bila kamu melihatnya maka berbukalah. Jika penglihatanmu tertutup oleh awan maka kira-kirakan lah bulan itu." (Riwayat: Bukhari, Muslim, Nasai dan Ibnu Majah)

Antara Rukyah Dan Hisab


Mengenai penentuan memulakan puasa dan mengakhirkan puasa atau berhari raya, terdapat perbezaan pendapat. Kebanyakan ahli fekah lama menyatakan memulakan puasa itu mestilah dengan rukyah hilal. Ini dibuat berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berpuasalah kamu dengan melihat bulan dan berbukalah dengan melihat bulan. Jika bulan terlindung atas kamu, maka sempurnakanlah bilangan Sya 'ban 30 hari. " (Riwayat: Bukhari dan Muslim) Sebaliknya golongan mutaakhirin dari ulamak fekah dan ahli-ahli tafsir menganggap lebih baik berpegang kepada hisab al-falak dalam menentukan puasa atau hari raya puasa. Mereka berpendapat begitu kerana menetapkan awal Ramadhan dan awal Syawal untuk ibadah, jadi samalah halnya dengan waktu solat yang ditetapkan oleh hisab al-falak. Para ulama dan kaum muslimin bersepakat membolehkan kita berpegang kepada hisab ulama falak dalam soal solat lima waktu setiap hari. Dalam hal menentukan waktu tenggelam dan terbitnya matahari. Pada umumnya kebanyakan umat Islam cenderung berpegang kepada dua cara iaitu rukyah dan hisab. Rukyah tetap dipergunakan kerana sebahagian fuqaha' menganggapnya fardu kifayah yang tidak boleh diabaikan. Tetapi kita juga berpegang kepada hisab, yang dilakukan dengan teliti agar hisab bersesuaian dengan kenyataan rukyah dari sudut falakiah.

JOHAN Bola Jaring Zon Jelai 2012

Gotong-Royong Perdana

Bola Sepak Zon Jelai 2012

SenamRobik SKBY

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...